Followers

Saturday, November 22, 2008

Pelantikan Dr. Gauth dialu-alukan...

Utusan Malaysia: 21/11/2008





SELURUH pimpinan mahasiswa Universiti Malaya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon di atas pelantikan beliau sebagai Naib Canselor Universiti Malaya yang baru bagi menggantikan kepimpinan Datuk Rafiah Salim yang tamat tempoh perkhidmatannya.

Sehingga hari ini, isu pelantikan Naib Canselor Universiti Malaya terus menjadi pertikaian, baik di Parlimen mahu pun di dada-dada akhbar tempatan. Paling menarik apabila dikatakan bahawa tamatnya kontrak Rafiah adalah disebabkan oleh kredibiliti beliau yang tidak melayakkannya untuk terus disambung perkhidmatan sebagai Naib Canselor. Malah, lebih hangat lagi apabila menurut laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada 17 November 2008, Rafiah menuduh bahawa penamatan kontrak beliau adalah kerana diskriminasi gender.

Naib Canselor Universiti Malaya merupakan satu jawatan yang mempunyai episod sejarahnya yang tersendiri. Sejak penubuhannya pada 1905, Universiti Malaya telah diterajui oleh tokoh-tokoh yang bukan calang-calang hebatnya.

Bahkan sewaktu negara digemparkan dengan pelantikan Rafiah selaku Naib Canselor wanita pertama negara satu ketika dahulu, ramai yang menaruh harapan agar universiti terbaik negara ini akan terus berada di kelompok universiti-universiti terbaik dunia. Namun tidak kurang juga yang ragu terhadap keupayaan beliau untuk memacu universiti perdana ini.

Mahasiswa berpendirian bahawa 'patah tumbuh, hilang berganti'. Siapa sahaja yang dilantik sebagai peneraju universiti terulung ini mestilah seorang yang mempunyai kredibiliti dan wawasan yang jelas dalam mempertingkat kecemerlangan universiti.

Maka pelantikan Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon yang merupakan mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya satu ketika dahulu adalah bagaikan 'sirih pulang ke gagang'.

Seperti mana Rafiah, Gauth juga merupakan mantan pensyarah, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Timbalan Naib Canselor yang pernah berkhidmat di universiti ini.

Malah, lebih dari itu Dr. Gauth turut berpengalaman luas bukan sahaja dalam menerajui institusi pengajian awam, bahkan turut bertanggungjawab dalam mempertingkat kecemerlangan Universiti Multimedia, iaitu salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di negara ini.

Sebagaimana diterangkan oleh Profesor Datuk Dr. Hashim Yaacob, mantan Naib Canselor Universiti Malaya dalam ruangan surat pembaca baru-baru ini yang menyifatkan pelantikan Dr. Gauth adalah tepat, lebih-lebih lagi kelulusan akademik beliau yang cukup cemerlang, maka tiada apa lagi yang harus diragukan dari segi kelayakan.

Buat Rafiah, kepimpinan bonda sebenarnya cukup memberi kesan buat para mahasiswa. Pelan strategik yang diusahakan bonda telah memberi satu dimensi baru kepada warga Universiti Malaya khususnya dalam mempertingkatkan keupayaan penggunaan bahasa Inggeris serta langkah-langkah pengantarabangsaan Universiti Malaya di mata dunia. Ia sudah pasti merupakan satu tindakan berani yang harus dipuji dan dihargai.

Buat ayahanda Dr. Gauth, sungguhpun terdapat beberapa pihak dan pimpinan politik daripada pemimpin pembangkang yang mempertikai pelantikan ayahanda, namun selagi ayahanda tetap utuh dan beriltizam tinggi dalam meningkatkan kecemerlangan kota ilmu Universiti Malaya ini, maka kami akan memberi sepenuh sokongan dan memastikan agenda pembaharuan dan perubahan akan terus di pacu di varsiti Perdana ini.

Buat Dr. Gauth, selamat datang ke gedung ilmu dan kota perjuangan!

WAN MOHD. HASIF WAN MUHAMAT ALI
Wakil Presiden-Presiden
Kolej-kolej Kediaman
Universiti Malaya

No comments:

UNIVERSITI MALAYA

UNIVERSITI MALAYA

gerak

gerak

KOLEJ KEDIAMAN KETIGA

KOLEJ KEDIAMAN KETIGA