Followers

Wednesday, December 31, 2008

RESOLUSI BLOK A DAN B

PERJUMPAAN BERSAMA KAKITANGAN KOLEJ DAN JIK/JTK.
TARIKH : 26 DISEMBER 2008.
TEMPAT : BILIK SERBAGUNA.
MASA : 9.30 MALAM.

1. Pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan blok A danB.
• Projek penyelenggaraan diselia oleh pihak JPPHB dan pihak kontraktor.
• Pihak kolej hanya diberi kuasa dalam menjalankan kerja-kerja pengawasan.

2. • Notis pengosongan bilik.
• Telah dikeluarkan oleh pihak kolej seminggu sebelum cuti semester setelah diberitahu oleh pihak JPPHP.

3. Pemberitahuan awal kepada penghuni blok A dan B mengenai pendaftaran bilik. Penghuni diberi pilihan untuk memilih untuk mendaftar awal atau lewat.
• Wakil JIK/JTK telah menggunakan sistem pesanan ringkas untuk memberitahu kepada penghuni yang terlibat sebagai makluman awal.

4. Kehilangan barang-barang penghuni blok A dan B.
• Borang aduan dan borang ‘lost and found’ telah disediakan oleh pihak JIK/JTK kepada penghuni yang terlibat bagi membantu siasatan.
5. Pihak JIKJTK telah membuka Kaunter Pusat Khidmat Mahasiswa.
-Bertujuan untuk menerangkan secara ringkas mengenai borang aduan dan keadaan blok A dan B.

6. Kerja-kerja pemantauan di blok A dan B ketika kerja-kerja penyelenggaraan
. • Jadual giliran dibuat oleh JIK/JTK siswi untuk memastikan keselamatan penghuni blok A dan B terjamin.

7. Lokasi penyimpanan barangan yang bukan hak milik penghuni.
• Pihak JIK/JTK telah menyediakan bilik sidang untuk metakkan barang-barang tersebut bagi proses mencarian barangan yang hilang.

PERJUMPAAN KHAS MAHASISWA : ISU BLOK A DAN BLOK B.
TARIKH : 29 DISEMBER 2008.
TEMPAT : BILIK SIDANG.
MASA : 9.30 MALAM.

1. Isu keselamatan penghuni blok A dan B semasa kerja-kerja penyelenggaraan telah dipersoalkan. Oleh yang demikian, pihak kolej hanya membenarkan
waktu kerja-kerja penyelenggaraan akan dilakukan pada waktu pejabat iaitu bermula 8.00 pagi sehingga 5.00 petang bagi menjamin keselamatan penghuni blok A dan B berserta barang-barang penghuni terjamin .
Selain itu, pemantauan akan dilakukan oleh pihak Keselamtan, kolej dan JIK/JTK siswi. Permohonan membuat pantauan rapi telah dibuat kepada pihak Keselamatan Universiti Malaya.

2. Berkenan dengan persoalan bahawa pihak kontraktor dan pekerja memiliki kunci kerana terdapat pelajar melihat pekerja membuka bilik B111, B113 dan B104 di mana aduan telah dibuat oleh Long May Wei. Justeru, pihak pengurusan kolej hanya membenarkan kakitangan kolej sahaja yang menyimpan kunci bilik dan sekiranya pekerja ingin membuat kerja-kerja di bilik, kakitangan kolej sendiri yang membuka bilik tersebut. Selain daripada itu, pemasangan kunci sementara atau selak telah dilakukan oleh Penolong Pengurus Asrama, En Khuzairul bersama-sama beberapa JIK dan JTK dilakukan pada malam 29 Disember 2008 di bilik yang bermasalah.

3. Masalah kebersihan akibat kerja-kerja penyelenggaraan – aduan oleh Mei Shan.
Pihak kontraktor akan membersihkan kerja-kerja penyelenggaraan.
Namun demikian hasil daripada perjumpaan ini, hampir semua penghuni blok A dan B menolak untuk membenarkan pihak kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. Justeru tugas-tugas pembersihan ini akan dilakukan oleh kakitangan kolej sendiri.

4. Memperoleh semula barangan yang telah hilang.
Kemungkinan barangan yang hilang tersebut berada di dalam bilik lain atau ditempat penyimpanaan barangan di bilik-bilik tertentu. Borang aduan kehilangan akan disiasat bagi mencari barangan tersebut. Satu sesi pengumpulan barang-barang yang dijumpai bukan milik penghuni bilik diadakan di Bilik Sidang bagi memudahkan proses LOST N FOUND sambil diawasi JIK/JTK yang terbabit.

5. Kerosakan tilam dan status penggantian tilam.
Tilam tersebut akan digantikan oleh pihak kolej bergantung kepada stok yang ada kerana ditanggung oleh pihak kontraktor secara berperingkat-peringkat.

6. Pemohonan daripada pelajar agar kerja-kerja pembersihan akan dilakukan sendiri oleh pelajar dan di kawasan koridor dilakukan oleh kakitangan kolej. Sehubungan itu, pihak kolej akan mengarahkan pekerja kolej untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan koridor sebaik kerja penyelenggaraan selesai.

7. Masalah Wireless tidak berfungsi turut dipersoalkan. Pihak Pengurusan Kolej akan memeriksa bagi mengenalpasti masalah dan sekiranya berkaitan dengan system pihak PTM akan mengambil tindakan manakala sekiranya kerana masalah pendawaian pihak kontraktor sendiri akan bertanggungjawab.

8. Pintu kaca di blok B yang ditanggalkan .
Tindakan segera telah dibuat dengan meletakkan kunci bermangga di pintu besi di blok B pada malam 29 Disember 2008 oleh Penolong Pengurus Asrama, En Khuzairul bersama-sama beberapa JIK dan JTK .

9. Tingkap tandas yang ditanggalkan.
Pihak pengurusan kolej dan JIK/JTK telah mendesak pemasangan semula tingkap tersebut dengan kadar segera bagi menjamin keselamatan penghuni blok.
10. Kerosakan lampu di tandas dan langsir di blok A aras 100.
Kerosakan telah diadukan kepada pihak kolej bagi memastikan lampu berfungsi dan langsir dipasangkan pada keesokkan harinya iaitu 30 Disember 2008.

11. Kehilangan barang
Aduan kepada pihak Keselamatan dan dalam proses siasatan. JIK/JTK telah mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Keselamatan UM, Tuan Ismail Mohd Hashim dan Encik Zul untuk membantu siasatan

UCAPAN TAHNIAH DAN TERIMA KASIH BUAT KESELAMATAN UM


“Security is about awareness”. Begitulah antara frasa yang dinyatakan oleh Tuan Ismail bin Mohd Hashim, Pengarah Keselamatan sewaktu perjumpaan isu penyelanggaraan blok A & B di Kolej Kediaman Ketiga , Universiti Malaya. Apa yang membuatkan penulis rasa amat berbangga dan berterima kasih adalah tindakan pihak keselamatan UM yang amat pantas dan cekap. Untuk pengetahuan umum, isu penyelanggaraan yang sewajarnya di bawah seliaan Jabatan Perbendaharaan dan Penyelanggraan Harta Benda ini telah menyebabkan pelajar-pelajar yang terlibat mengalami kebimbangan yang sangat maksimum terhadap isu keselamatan.

Apa yang lebih membanggakan adalah sikap pihak keselamatan UM yang bersifat professional dalam menangani kes-kes yang berlaku di UM. Buktinya kes yang terbaru adalah kehilangan barangan peribadi semasa projek penyelanggaraan dilakukan di Blok A & B, Kolej Kediaman Ketiga. Apa yang paling membuatkan penulis ingin memberi penghormatan apabila Tuan pengarah sendiri turun padang bersama pegawai penyiasat, Encik Zulkifli sejurus sahaja menerima aduan. Kemudian, berkaitan kes ragut yang agak kronik di Kolej Kediaman Kesembilan. Pihak keselamatan UM yang melaksanakan konsep students’ security is our concern, telah meletakkan static seramai 2 orang bersama patrol car untuk pengawasan yang lebih maksimum walaupun ianya sebenarnya ia mengganggugugat kekuatan anggota yang lain. Risiko dan tindakan yang diambil sebegini rupa wajar diberi pujian dan ucapan terima kasih sebagai menghargai jasa pihak keselamatan UM. Biarpun penulis yakin dan percaya bahawa beliau melakukan perkara yang sama kepada semua kes yang genuine, namun sebagai ucapan penghargaan, suka untuk penulis meluahkan rasa gembira di atas tindakan pantas dan cekap pihak Keselamatan UM.

Buat semua warga Keselamatan Universiti Malaya…TAHNIAH DAN TERIMA KASIH.

NURUL AIN ZAINAL ABIDIN
Timbalan Presiden (Wakil Rakan Siswi)
Kolej Kediaman Ketiga (Tuanku Kurshiah)
Universiti Malaya

Tuesday, December 30, 2008

PENGUMUMAN 2


Perhatian kepada semua penghuni blok A & B,
Bagi memudahkan proses LOST & FOUND, kerjasama anda amat diharapkan bagi mengumpulkan barang-barang bukan milik anda yang berada di bilik masing-masing ke BILIK SIDANG pada pukul 6.00-6.30 petang ini, Selasa, 30 Disember 2008. Jasa baik anda amat dihargai bagi membantu rakan-rakan kita yang lain. Terima Kasih.

Kebajikan Berkeutamaan

Monday, December 29, 2008

PENGUMUMAN


PERJUMPAAN BERKENAAN ISU BLOK A & B AKAN DIADAKAN PADA MALAM INI PUKUL 9 MALAM, 29 DISEMBER 2008 BERTEMPAT DI BILIK SIDANG. SEMUA PENGHUNI TERUTAMANYA PENGHUNI BLOK A & B DIJEMPUT UNTUK HADIR BAGI MEMBINCANGKAN DAN MENDAPATKAN PENJELASAN TENTANG ISU TERSEBUT. SEGALA MASALAH YANG TIMBUL AMAT DIKESALI. TERIMA KASIH

KEBAJIKAN BERKEUTAMAAN

Saturday, December 27, 2008

ISU PROJEK PENYELENGGARAAN BLOK A & B!!!


Penghuni blok A & B pastinya tertanya-tanya berikutan sms yang diterima daripada wakil JIK/JTK baru-baru ini berkenaan projek penyelengaraan yang dilakukan di blok tersebut sejak sebulan yang lalu. Bermula 24 November 2008, projek di bawah bidang kuasa JPPHB sepenuhnya ini yang melibatkan penggantian bumbung, syiling dan pendawaian elektrik di blok-blok tersebut nampaknya dikhuatiri tidak mampu disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Pihak JIK/JTK yang di wakili saudara presiden dan timb. presiden serta di iringi penolong pengurus asrama, en khuzairul telah meninjau sendiri keadaan terkini di blok tersebut. Apa yang mengejutkan dan pasti mengecewakan kita adalah proses penyelenggaraan tersebut bukan sahaja masih belum siap sepenuhnya bahkan pemantauan terhadap pekerja-pekerja asing yang melaksanakan tugas penyelenggaraan tersebut juga di abaikan oleh pihak JPPHB dan kontraktor terlibat.

Justeru, sebagai langkah awal, pihak JIK/JTK telah mengambil tindakan dengan membuat makluman kepada semua penghuni blok tersebut melalui sms dan blog. Untuk pengetahuan semua, tindakan ini diambil bagi memastikan pihak kolej dapat memberikan penempatan sementara yang selesa berdasarkan jumlah penghuni yang mendaftar masuk dengan jumlah ruangan dan bilik-bilik khas yang akan digunakan sebagai penempatan sementara.

Walaubagaimanapun, pihak Kolej tidak memaksa dan penghuni berhak membuat pilihan untuk sama ada hadir pada tarikh daftar masuk yang sepatutnya iaitu pada 29 Disember 2008 dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang atau pada tarikh yang lebih lewat. Ini kerana, pihak Kontraktor dan JPPHB hanya dapat memberikan kata putus sama ada blok tersebut selamat dan sempat diduduki sehari sebelum tarikh daftar masuk yang sebenarnya.Usah khuatir jika ada yang telah membeli tiket untuk pulang ke UM. Diharapkan penghuni dapat sentiasa berkunjung ke blog ini untuk sebarang maklumat lanjut dan juga untuk sebarang pertanyaan.

Kebajikan Berkeutamaan

Thursday, December 25, 2008

PERUTUSAN PRESIDEN SEMESTER 2 2008/2009





Keris emas bertatah intan
Di asap bersama limau kasturi
Selamat kembali tuan dan puan
Ke Kota Perjuangan Ibu Pertiwi

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selaut kasih dan segunung pujian buat Allah S.W.T Tuhan Rabbul Jalil atas kenikmatan yang tidak terhingga selama ini buat kita. Selawat dan salam buat Rasulullah kekasih hati tercinta dan para ahlul bait sekelian.

Teman seperjuangan,

Semester 2 sesi 2008/2009 kembali menjengah kita. Kali ini landskap dan senarionya berbeda. Tiada lagi 2008 di dalam catatan diari hidup kita. Yang lama telah pergi dan yang baru pasti hadir. Patah tumbuh hilang berganti. Perubahan demi perubahan pasti berlaku. Senyuman 2009 menjengah kita, sudah pasti menjanjikan satu semangat dan azam baru buat rakan-rakan sepengembaraan.

Tahun baru Hijrah 1430 juga sudah menjelma. Menjanjikan satu scenario dan iklim perjuangan yang pastinya penuh dengan cabaran dan rintangan. Kali ini, khasnya di Kolej Tuanku Kurshiah tercinta ini, aktiviti-aktiviti mahasiswa akan berlangsung dengan lebih pesat. Bermula dengan sesi pertemuan bersama mahasiswa seterusnya di ikuti Pemilihan MPMUM dan Malam Anugerah Kurshiah serta pelbagai program JTK dalam bulan Februari, Mac, April dan akhir sekali Peperiksaan Akhir Semester akan melabuhkan tirai 2008/2009 ini.

Buat teman-teman, perjuangan kita yang paling utama adalah bagi memastikan diri kita pada akhir pengajian nanti berjaya menggenggam segulung ijazah dengan cemerlang! Bukan sekadar kelas pertengahan tetapi di peringkat terbaik. Justeru, inilah agenda perjuangan utama kita selagi bergelar mahasiswa. Namun, kecemerlangan akademik tidak menjanjikan apa-apa buat kita andai tembok perjuangan tidak di pecahkan dalam penjara kemanusiaan.

Negara melalui sejarah kemerdekaan yang cukup panjang selama 50 tahun, justeru mahasiswa ada peranannya di sini. Bertindak sebagai “check and balance” dalam memerhatikan agenda Negara dalam memperjuang hak asasi dan kebajikan masyarakat. Mahasiswa ada kekuatan dalam membuat perubahan ini. Mahasiswa ada suara dalam mengimplementasikan idealisme kita tersendiri. Isu-isu kemanusiaan, ketidak adilan, penindasan wajiblah di tangani dengan hikmah dan bijaksana oleh mahasiswa. Baharulah mahasiswa itu ada ngaumannya dalam tikaman intelektual berorientasikan idealisme tersendiri.

Akhir kalam, saya yakin dan optimis, dengan sokongan yang padu dan jitu daripada seluruh ahli keluarga Kurshiah, kita akan berjaya melangkah dengan lebih gagah dalam memperkasa kekuatan, menajamkan semula keintelektualan, mengeratkan lagi perpaduan dalam membentuk bangsa Malaysia. Ayuh kita runtuhkan tembok penghalang perjuangan kita. Jangan takut dan gentar pada mereka yang benci melihat perpaduan di antara kita. Perjuangan kita tidak pernah padam. Bahkan akan terus bergetar membentuk satu gerakan yang lebih relevan. Ayuh bangkit sebagai satu suara dan bertindak sebagai Penggerak Mahasiswa! Percaya dan optimislah, kejayaan pasti bersama kita!Hidup Kurshiah!Hidup Mahasiswa!Hidup Bangsa Malaysia!

Selamat Kembali!

UNIVERSITI MALAYA

UNIVERSITI MALAYA

gerak

gerak

KOLEJ KEDIAMAN KETIGA

KOLEJ KEDIAMAN KETIGA