Followers
Thursday, December 25, 2008
PERUTUSAN PRESIDEN SEMESTER 2 2008/2009
Keris emas bertatah intan
Di asap bersama limau kasturi
Selamat kembali tuan dan puan
Ke Kota Perjuangan Ibu Pertiwi
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Selaut kasih dan segunung pujian buat Allah S.W.T Tuhan Rabbul Jalil atas kenikmatan yang tidak terhingga selama ini buat kita. Selawat dan salam buat Rasulullah kekasih hati tercinta dan para ahlul bait sekelian.
Teman seperjuangan,
Semester 2 sesi 2008/2009 kembali menjengah kita. Kali ini landskap dan senarionya berbeda. Tiada lagi 2008 di dalam catatan diari hidup kita. Yang lama telah pergi dan yang baru pasti hadir. Patah tumbuh hilang berganti. Perubahan demi perubahan pasti berlaku. Senyuman 2009 menjengah kita, sudah pasti menjanjikan satu semangat dan azam baru buat rakan-rakan sepengembaraan.
Tahun baru Hijrah 1430 juga sudah menjelma. Menjanjikan satu scenario dan iklim perjuangan yang pastinya penuh dengan cabaran dan rintangan. Kali ini, khasnya di Kolej Tuanku Kurshiah tercinta ini, aktiviti-aktiviti mahasiswa akan berlangsung dengan lebih pesat. Bermula dengan sesi pertemuan bersama mahasiswa seterusnya di ikuti Pemilihan MPMUM dan Malam Anugerah Kurshiah serta pelbagai program JTK dalam bulan Februari, Mac, April dan akhir sekali Peperiksaan Akhir Semester akan melabuhkan tirai 2008/2009 ini.
Buat teman-teman, perjuangan kita yang paling utama adalah bagi memastikan diri kita pada akhir pengajian nanti berjaya menggenggam segulung ijazah dengan cemerlang! Bukan sekadar kelas pertengahan tetapi di peringkat terbaik. Justeru, inilah agenda perjuangan utama kita selagi bergelar mahasiswa. Namun, kecemerlangan akademik tidak menjanjikan apa-apa buat kita andai tembok perjuangan tidak di pecahkan dalam penjara kemanusiaan.
Negara melalui sejarah kemerdekaan yang cukup panjang selama 50 tahun, justeru mahasiswa ada peranannya di sini. Bertindak sebagai “check and balance” dalam memerhatikan agenda Negara dalam memperjuang hak asasi dan kebajikan masyarakat. Mahasiswa ada kekuatan dalam membuat perubahan ini. Mahasiswa ada suara dalam mengimplementasikan idealisme kita tersendiri. Isu-isu kemanusiaan, ketidak adilan, penindasan wajiblah di tangani dengan hikmah dan bijaksana oleh mahasiswa. Baharulah mahasiswa itu ada ngaumannya dalam tikaman intelektual berorientasikan idealisme tersendiri.
Akhir kalam, saya yakin dan optimis, dengan sokongan yang padu dan jitu daripada seluruh ahli keluarga Kurshiah, kita akan berjaya melangkah dengan lebih gagah dalam memperkasa kekuatan, menajamkan semula keintelektualan, mengeratkan lagi perpaduan dalam membentuk bangsa Malaysia. Ayuh kita runtuhkan tembok penghalang perjuangan kita. Jangan takut dan gentar pada mereka yang benci melihat perpaduan di antara kita. Perjuangan kita tidak pernah padam. Bahkan akan terus bergetar membentuk satu gerakan yang lebih relevan. Ayuh bangkit sebagai satu suara dan bertindak sebagai Penggerak Mahasiswa! Percaya dan optimislah, kejayaan pasti bersama kita!Hidup Kurshiah!Hidup Mahasiswa!Hidup Bangsa Malaysia!
Labels:
jikjtkkk3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment